Skip to content

Freelance

Cara Buat Website untuk Perniagaan Kecil di Malaysia

Panduan cara buat website perniagaan kecil di Malaysia: domain, hosting, WordPress, muka surat wajib, butang WhatsApp, kos sebenar dan bila upah pereka.

By Zahid Aramai

Cara Buat Website untuk Perniagaan Kecil di Malaysia

Ramai pemilik perniagaan kecil tanya saya soalan yang sama: boleh tak saya buat website sendiri? Jawapan jujur: boleh, dan untuk sesetengah perniagaan itu pilihan yang betul. Panduan ini terangkan langkah demi langkah cara buat website perniagaan di Malaysia, berapa kosnya, dan pada titik mana lebih berbaloi upah pereka web.

Saya tulis ini sebagai pereka laman web freelance yang dah siapkan lebih 500 website sejak 2009. Jadi saya tahu apa yang selalu tersangkut bila orang buat sendiri, dan saya cuba tolong anda elak perkara itu.

Langkah 1: Tentukan tujuan website

Sebelum beli apa-apa, jawab satu soalan: apa yang pelanggan patut buat bila sampai ke website ini? Untuk kebanyakan perniagaan kecil di Malaysia jawapannya ialah WhatsApp anda. Mungkin juga tempah janji temu, tengok harga, atau beli terus. Satu tujuan utama, bukan sepuluh. Semua keputusan lain ikut jawapan ini.

Aliran pelawat: dari Google ke website anda, kemudian ke WhatsApp anda Pelawat dari Google Website anda Satu tindakan: WhatsApp
Setiap muka surat membawa pelawat ke satu tindakan yang sama, dan untuk kebanyakan perniagaan kecil tindakan itu ialah WhatsApp.

Sediakan bahan sebelum anda mula

Kebanyakan website buat sendiri tergendala bukan kerana teknologi, tetapi kerana bahan belum siap. Sebelum pasang apa-apa, kumpulkan lima perkara ini dalam satu folder:

  • Logo dalam format yang jelas, dan warna utama perniagaan anda.
  • Sepuluh hingga lima belas gambar sebenar: produk, premis, hasil kerja, dan wajah anda atau pasukan.
  • Senarai perkhidmatan atau produk dengan penerangan dua tiga ayat dan harga atau julat harga.
  • Tiga hingga lima ulasan pelanggan sebenar, dengan kebenaran mereka untuk dipaparkan.
  • Maklumat syarikat: nama berdaftar, nombor SSM, alamat, waktu operasi dan nombor WhatsApp.

Jadual ini boleh anda cetak dan tanda satu demi satu:

Bahan Contoh Siapa sediakan
Logo dan warna Fail logo yang jelas, warna utama perniagaan Anda atau pereka grafik
Gambar sebenar Produk, premis, hasil kerja, wajah pasukan Anda atau jurugambar
Senarai perkhidmatan Nama, dua tiga ayat, harga atau julat harga Anda
Ulasan pelanggan Tiga hingga lima ulasan, dengan kebenaran Pelanggan anda
Maklumat syarikat Nama berdaftar, nombor SSM, alamat, waktu, WhatsApp Anda

Kalau bahan ini siap, memasang website mengambil beberapa hari. Kalau tidak, ia mengambil beberapa bulan, kerana setiap muka surat berhenti menunggu satu gambar atau satu ayat.

Langkah 2: Beli domain atas nama anda sendiri

Domain ialah alamat website, contohnya namaperniagaan.com atau namaperniagaan.my. Daftar sendiri dengan akaun atas nama anda atau syarikat anda, bukan atas nama kawan atau pereka. Harga lebih kurang RM40 hingga RM120 setahun. Pilih nama yang pendek, senang dieja bila disebut melalui telefon, dan sepadan dengan nama di SSM dan Google.

Laman utama MyNIC dengan kotak carian domain dan tawaran .com.my untuk perniagaan berdaftar SSM
Laman utama MyNIC, pentadbir domain .my, tempat anda boleh semak sama ada nama perniagaan anda masih kosong.

Tiga sambungan yang paling biasa untuk perniagaan di Malaysia:

Domain Sesuai untuk Syarat secara am
.com.my Perniagaan berdaftar di Malaysia Biasanya perlu dokumen SSM
.my Identiti Malaysia Semak syarat terkini di MyNIC
.com Pelanggan luar negara juga Terbuka kepada sesiapa

Langkah 3: Pilih hosting di Malaysia atau Singapura

Hosting ialah komputer yang simpan website anda. Untuk pelanggan di Malaysia, pilih pelayan di Malaysia atau Singapura supaya website laju. Hosting kongsi yang baik bermula sekitar RM100 hingga RM400 setahun dan selalunya datang dengan sijil SSL percuma dan pemasangan WordPress satu klik. Elak hosting paling murah; website yang lambat dan kerap down lebih mahal daripada beza RM200 setahun.

Bila anda buka laman penyedia hosting, anda akan jumpa beberapa jenis pakej. Ini beza ringkasnya:

Jenis hosting Untuk siapa Perkara perlu tahu
Hosting kongsi Website maklumat perniagaan kecil Paling murah; pilih pelayan Malaysia atau Singapura
Hosting WordPress terurus Pemilik yang tak mahu urus kemas kini sendiri Kemas kini dan sandaran biasanya diurus penyedia
VPS atau pelayan awan Kedai online yang sibuk atau sistem tersuai Perlu orang teknikal untuk mengurusnya

Langkah 4: Pasang WordPress

WordPress percuma dan menggerakkan lebih empat daripada sepuluh website di dunia. Kelebihannya untuk perniagaan kecil: anda tidak terikat dengan mana-mana syarikat, boleh pindah hosting bila-bila masa, ada plugin untuk hampir semua keperluan termasuk pembayaran FPX, dan mana-mana pereka web di Malaysia boleh ambil alih kemudian. Pasang melalui panel hosting, pilih tema ringan, dan jangan pasang lebih daripada sepuluh plugin pada permulaan.

Muka surat Get WordPress di wordpress.org dengan butang muat turun dan pilihan penyedia hosting
WordPress boleh dimuat turun percuma dari wordpress.org, tetapi cara paling mudah ialah pemasangan satu klik dari panel hosting anda.

Selepas dipasang, anda log masuk ke papan pemuka WordPress. Skrin di bawah ialah WordPress sebenar dalam Bahasa Inggeris; bahasa admin boleh ditukar ke Bahasa Melayu di menu Settings.

Papan pemuka WordPress selepas pemasangan baru, dengan menu Posts, Media, Pages, Appearance, Plugins dan Settings di sebelah kiri
Papan pemuka WordPress yang baru dipasang: Pages untuk muka surat, Appearance untuk tema, Plugins untuk tambahan.

Perkara pertama yang saya ubah di setiap website baru ialah tetapan umum: nama perniagaan sebagai tajuk laman, satu ayat tentang apa yang anda buat sebagai tagline, dan zon waktu Kuala Lumpur.

Skrin General Settings WordPress dengan ruang Site Title, Tagline dan Site Icon
Skrin General Settings: tukar Site Title kepada nama perniagaan anda dan isi Tagline sebelum buat muka surat pertama.

Langkah 5: Buat muka surat yang wajib ada

Website perniagaan kecil tidak perlu banyak muka surat. Lima ini cukup untuk bermula:

  • Utama: siapa anda, apa anda buat, untuk siapa, dan butang WhatsApp di bahagian atas.
  • Perkhidmatan atau produk: satu bahagian atau satu muka surat untuk setiap perkhidmatan, dengan harga atau julat harga kalau boleh.
  • Tentang: siapa di sebalik perniagaan, sejak bila, dan kenapa pelanggan boleh percaya.
  • Testimoni: ulasan sebenar dari Google atau WhatsApp, dengan nama.
  • Hubungi: WhatsApp, telefon, alamat dengan peta Google, dan waktu operasi.

Susunannya kelihatan begini:

Peta laman lima muka surat: Utama di atas, diikuti Perkhidmatan, Tentang, Testimoni dan Hubungi Utama butang WhatsApp di atas Perkhidmatan satu bahagian setiap servis Tentang siapa dan sejak bila Testimoni ulasan sebenar, dengan nama Hubungi WhatsApp, peta, waktu
Lima muka surat yang cukup untuk kebanyakan perniagaan kecil, dengan apa yang perlu ada di setiap satu.

Setiap muka surat dibuat dari menu Pages, kemudian Add New. Anda taip tajuk, tambah blok teks dan gambar, dan tekan Publish.

Editor blok WordPress untuk muka surat baru, dengan ruang Add title dan butang Publish
Editor muka surat WordPress: tajuk di atas, kandungan di bawah, dan status Draft sehingga anda tekan Publish.

Tulis dalam bahasa pelanggan anda. Kalau pelanggan anda bertutur Bahasa Malaysia, tulis dalam Bahasa Malaysia. Kalau campur, buat dwibahasa. Elakkan ayat panjang dan istilah teknikal; pelanggan nak tahu apa anda buat, berapa harga dan macam mana nak hubungi anda, dalam masa kurang sepuluh saat.

Langkah 6: Letak butang WhatsApp di setiap muka surat

Butang WhatsApp ialah pautan ke wa.me diikuti nombor anda dalam format antarabangsa, contohnya wa.me/60111234567. Tambah mesej yang dah siap ditaip supaya pelanggan tak perlu fikir apa nak tulis, dan supaya anda tahu dari muka surat mana mereka datang. Letak di bahagian atas muka utama, di hujung setiap perkhidmatan, dan sebagai butang terapung di telefon.

Beginilah rupanya di website saya sendiri bila dibuka di telefon:

Muka surat Servis Buat Website Malaysia di telefon, dengan butang WhatsApp di bar atas dan butang WhatsApp Zahid di bawah pengenalan
Di telefon, butang WhatsApp kekal di bar atas dan ada satu lagi di bawah pengenalan, jadi pelanggan tak perlu menatal untuk menghubungi.

Borang hubungan dan notis privasi

Ramai pelanggan Malaysia lebih suka WhatsApp, tetapi borang hubungan masih berguna untuk pertanyaan yang panjang atau pelanggan korporat yang mahu rekod emel. Pastikan borang itu minta perkara paling perlu sahaja: nama, nombor telefon atau emel, dan mesej. Setiap ruang tambahan mengurangkan jumlah orang yang menghantar.

Muka surat Contact di zahidaramai.com dengan dua kad: WhatsApp untuk balasan paling cepat dan permintaan sebut harga bertulis
Muka surat hubungi saya meletakkan WhatsApp dahulu; borang dan pilihan lain datang selepas itu.
Data dikumpul Tujuan Perlu ke?
Nama Tahu siapa yang bertanya Ya
Nombor telefon atau emel Membalas pertanyaan Ya, salah satu
Mesej Faham apa yang pelanggan perlukan Ya
Alamat rumah atau nombor IC Tiada untuk pertanyaan biasa Tidak, jangan minta

Bila anda kumpul nama, nombor telefon dan emel pelanggan, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) terpakai pada perniagaan anda. Secara umumnya, anda perlu beritahu pelanggan data apa yang dikumpul, untuk tujuan apa, dan siapa yang boleh dihubungi kalau mereka mahu semak atau betulkan data itu. Letak notis privasi ringkas dalam Bahasa Malaysia di bawah borang dan pautkan dari tapak kaki. Jangan salin notis syarikat lain bulat-bulat; tulis apa yang benar-benar anda lakukan dengan data itu.

Langkah 7: Gambar yang ringan dan tulisan yang jelas

Gambar terus dari telefon bersaiz empat megabait dan buat website lambat. Kecilkan dan mampatkan setiap gambar sebelum muat naik, atau guna plugin yang buat secara automatik. Gunakan gambar sebenar perniagaan anda, bukan gambar stok orang bersalaman. Pastikan tulisan cukup besar untuk dibaca di telefon tanpa zum.

Plugin pemampat gambar boleh dicari terus dari WordPress, di menu Plugins, kemudian Add New:

Skrin Add Plugins WordPress dengan hasil carian image compression, menunjukkan beberapa plugin pemampat gambar dan butang Install Now
Carian image compression di skrin Add Plugins. Pilih satu sahaja, yang dikemas kini baru-baru ini dan serasi dengan versi WordPress anda.

Langkah 8: SEO asas dan Google Business Profile

Setiap muka surat perlu tajuk yang jelas dengan nama perkhidmatan dan kawasan anda, contohnya “Klinik Gigi di Shah Alam”. Daftar website di Google Search Console dan hantar peta laman. Buat atau kemas kini Google Business Profile dengan nama, alamat, nombor dan waktu yang sama seperti di website, dan minta pelanggan tinggalkan ulasan. Untuk perniagaan tempatan, Google Maps selalunya bawa lebih ramai pelanggan daripada website itu sendiri pada awalnya.

Muka surat Tajuk yang lemah Tajuk yang jelas
Utama Utama Klinik Gigi di Shah Alam
Perkhidmatan Servis Kami Pembersihan Gigi di Shah Alam
Hubungi Hubungi Kami Hubungi Klinik Gigi, Shah Alam

Maklumat perniagaan anda mesti sama di setiap tempat Google membacanya:

Website, Profil Google dan rekod SSM mesti menunjukkan nama, alamat dan nombor yang sama Website Profil Google Rekod SSM Nama, alamat dan nombor sama persis di semua tempat
Kalau alamat di website berbeza walau satu perkataan dengan Profil Google, pelanggan dan Google sama-sama keliru.

Langkah 9: Keselamatan dan sandaran

Kemas kini WordPress dan plugin setiap minggu. Guna kata laluan panjang dan pengesahan dua faktor. Pasang sandaran automatik yang simpan salinan di luar hosting. Website yang digodam kerana plugin lama ialah masalah paling biasa yang saya baiki setiap tahun, dan semuanya boleh dielak.

Semua kemas kini ada di satu skrin, di menu Dashboard, kemudian Updates:

Skrin WordPress Updates yang menunjukkan versi terkini dan mesej bahawa semua plugin dan tema sudah dikemas kini
Skrin Updates WordPress. Inilah rupa yang anda mahu lihat setiap minggu: WordPress, plugin dan tema semuanya terkini.
Bila Tugas Kenapa
Setiap minggu Kemas kini WordPress, tema dan plugin Plugin lama punca godam yang paling biasa
Automatik Sandaran disimpan di luar hosting Boleh pulih walaupun hosting bermasalah
Sekali, hari ini Kata laluan panjang dan pengesahan dua faktor Halang orang meneka akaun admin
Setiap tahun Bayar domain dan hosting lebih awal Website tidak mati tiba-tiba

Kesilapan biasa yang saya lihat

Selepas lebih 500 website, kesilapan yang berulang hampir sama setiap kali. Senarai ini boleh anda semak sendiri.

Kesilapan Kesannya Cara betulkan
Banyak muka surat, sedikit isi Pelanggan tak jumpa jawapan Lima muka surat yang jawab soalan WhatsApp
Domain atas nama orang lain Tak boleh pindah atau pulihkan website Pindahkan pemilikan ke nama anda
Nombor telefon sebagai teks biasa Pelanggan perlu salin nombor Jadikan pautan telefon dan WhatsApp
Tak pernah uji di telefon Butang rapat, tulisan kecil Uji di telefon sebenar dengan data mudah alih
Lupa pembaharuan Website mati tanpa amaran Peringatan kalendar dua minggu awal

Terlalu banyak muka surat, terlalu sedikit isi

Website sepuluh muka surat dengan ayat kosong kalah dengan lima muka surat yang menjawab soalan pelanggan. Tulis apa pelanggan tanya anda di WhatsApp; itu tajuk muka surat dan bahagian FAQ yang paling berguna.

Domain atau akaun hosting atas nama orang lain

Bila pereka lama, kawan atau pekerja yang daftar, anda tidak boleh pindah atau pulihkan website tanpa mereka. Semak sekarang: siapa pemilik berdaftar domain anda, dan emel siapa yang terima notis pembaharuan?

Tiada cara untuk dihubungi dalam satu ketukan

Nombor telefon yang ditulis sebagai teks tidak boleh diketik di sesetengah paparan. Jadikan nombor sebagai pautan, dan pastikan butang WhatsApp nampak tanpa menatal.

Tidak pernah menguji di telefon

Kebanyakan pelanggan anda datang dari telefon. Buka website anda di telefon sebenar, dengan data mudah alih dan bukan Wi-Fi pejabat. Kalau anda perlu zum untuk membaca atau butang terlalu rapat, betulkan sebelum yang lain.

Lupa pembaharuan

Domain dan hosting dibayar setiap tahun. Letak peringatan dalam kalendar dua minggu sebelum tarikh luput, kerana website yang mati pada hari jualan besar ialah kerugian yang boleh dielak sepenuhnya.

Berapa kos sebenar buat website sendiri

Kos tunai: domain dan hosting, lebih kurang RM150 hingga RM500 setahun. Kos masa: 20 hingga 40 jam untuk website pertama, termasuk belajar, dan beberapa jam sebulan selepas itu. Kalau masa anda bernilai RM50 sejam, website buat sendiri kos anda RM1,000 hingga RM2,000 dalam masa, dan hasilnya bergantung pada kemahiran reka bentuk dan penulisan anda.

Perkara Anggaran
Domain .com atau .my RM40 hingga RM120 setahun
Hosting kongsi, selalunya dengan SSL percuma RM100 hingga RM400 setahun
WordPress, dipasang dari panel hosting Percuma
Masa anda untuk website pertama, termasuk belajar 20 hingga 40 jam
Panel perbandingan kos: buat sendiri RM150 hingga RM500 setahun ditambah 20 hingga 40 jam, berbanding upah pereka dari RM2,500 untuk Landing Page dan dari RM4,500 untuk Website Perniagaan
Ringkasan kos: angka buat sendiri dari artikel ini, angka upah dari pakej saya di muka surat harga.

Bila lebih berbaloi upah pereka web

Upah pereka bila website itu akan jadi sumber pelanggan utama, bila anda perlukan kedai online dengan pembayaran FPX dan penghantaran, bila anda tak ada 30 jam lapang bulan ini, atau bila cubaan pertama anda tak membawa pertanyaan. Pakej saya bermula RM2,500 untuk landing page dan RM4,500 untuk website perniagaan, siap dalam tiga hingga empat minggu, dengan domain dan hosting atas nama anda dan latihan supaya anda boleh urus sendiri. Butirannya di muka surat servis buat website.

Tiga soalan ini cukup untuk membuat keputusan:

Carta keputusan: buat sendiri atau upah pereka web Website sumber pelanggan utama? Perlu kedai online dengan FPX? Ada 30 jam lapang bulan ini? Cuba buat sendiri dahulu Upah pereka Ya Ya Tidak Tidak Tidak Ya
Kalau satu sahaja jawapan membawa ke kotak kuning, upah pereka biasanya lebih murah dalam jangka panjang.

Harga pakej itu sama seperti yang tertera di muka surat harga saya:

Muka surat harga zahidaramai.com menunjukkan pakej Landing Page dari RM2,500 dan Business Website dari RM4,500 dengan senarai apa yang termasuk
Dua pakej yang paling kerap dipilih perniagaan kecil, seperti di muka surat harga: Landing Page dari RM2,500 dan Business Website dari RM4,500.

Kalau anda nak belajar buat dan urus website dengan betul dari awal, ada juga Kursus WordPress satu-ke-satu dalam Bahasa Malaysia.

Kalau anda mahu jual terus di website

Kedai online ialah projek yang berbeza daripada website maklumat. Anda perlukan senarai produk dengan gambar dan harga, troli, pembayaran, dan cara hantar. Di Malaysia, pelanggan biasanya mahu bayar melalui FPX atau kad, jadi anda perlu akaun dengan penyedia pembayaran yang berdaftar, dan proses permohonan itu sendiri mengambil masa. Mulakan permohonan lebih awal.

Perkara Website maklumat Kedai online
Tujuan utama Pertanyaan melalui WhatsApp Jualan dan bayaran terus
Muka surat Lima muka surat utama Katalog, troli, bayaran, akaun pelanggan
Bayaran Tiada di website FPX atau kad melalui penyedia berdaftar
Pakej saya Business Website dari RM4,500 WooCommerce Store dari RM7,500

Di WordPress, kedai online biasanya dibina dengan plugin WooCommerce. Setiap produk ada nama, penerangan, gambar, harga dan kategori:

Skrin Add new product WooCommerce dengan ruang Product name, Product description, Product image dan Product categories
Skrin tambah produk WooCommerce sebenar: setiap produk perlu nama, penerangan, gambar dan kategori sebelum diterbitkan.

Untuk jualan yang kecil, ramai peniaga bermula dengan katalog produk dan butang WhatsApp, kemudian tambah troli apabila pesanan cukup banyak untuk menyusahkan cara manual. Kalau anda memang bersedia untuk kedai penuh, lihat muka surat reka bentuk website e-dagang saya untuk apa yang diperlukan.

Senarai semak sebelum lancar

Sebelum anda umumkan website kepada pelanggan, semak perkara ini satu demi satu:

Panel senarai semak lapan perkara sebelum lancar, dari ujian WhatsApp di telefon hingga orang lain berjaya bertanya melalui website
Lapan perkara yang saya semak pada setiap website sebelum diumumkan. Simpan gambar ini dan tanda satu demi satu.
  1. Setiap butang WhatsApp dan setiap pautan telefon berfungsi, diuji di telefon.
  2. Nama, alamat dan nombor sama persis dengan yang ada di Google Business Profile anda. Panduan lanjut ada di muka surat Google Business Profile.
  3. Setiap muka surat ada tajuk dan penerangan yang berbeza, dan tiada tulisan contoh seperti “Lorem ipsum” tertinggal.
  4. Website dibuka kurang daripada tiga saat pada sambungan mudah alih yang biasa.
  5. Sijil SSL aktif, dan alamat tanpa “https” bertukar secara automatik.
  6. Sandaran pertama sudah dibuat, dan anda tahu di mana salinannya disimpan.
  7. Notis privasi dan maklumat syarikat ada di tapak kaki.
  8. Seseorang selain anda sudah cuba menempah atau bertanya melalui website, dan berjaya.

Selepas lancar, jangan biarkan website begitu sahaja. Kemas kini, sandaran dan pemantauan ialah kerja berterusan; kalau anda tidak mahu uruskan sendiri, lihat perkhidmatan penyelenggaraan website. Anda juga boleh baca artikel lain di blog.

Langkah seterusnya

Kalau anda dah cuba buat sendiri dan tersangkut, atau nak terus serahkan pada saya, hantar nama perniagaan dan apa yang website perlu buat melalui WhatsApp. Saya balas dalam satu hari bekerja dengan sebut harga bertulis.

Sebagai contoh, ini salah satu website klinik yang saya siapkan, dengan butang WhatsApp di bahagian atas seperti yang diterangkan dalam panduan ini:

Muka surat projek Artisan Dental Clinic di zahidaramai.com, dengan tangkapan skrin website klinik dan butang I want something like this
Artisan Dental Clinic, salah satu website perniagaan yang saya reka dan bina. Lebih banyak contoh ada di muka surat projek lepas.

Soalan lazim

Soalan yang selalu ditanya

Berapa kos buat website sendiri?

Domain .com atau .my lebih kurang RM40 hingga RM120 setahun, hosting kongsi RM100 hingga RM400 setahun, dan WordPress percuma. Jadi kos tunai bermula sekitar RM150 setahun. Kos sebenar ialah masa anda: biasanya 20 hingga 40 jam untuk website pertama.

Perlu ke guna WordPress? Wix atau Canva lebih senang.

Wix dan Canva senang untuk bermula tetapi website itu tinggal di platform mereka dengan yuran bulanan, dan susah dipindahkan. WordPress percuma, boleh dipindahkan ke mana-mana hosting, dan boleh diurus oleh mana-mana pereka web di Malaysia. Untuk perniagaan yang nak kekal lama, WordPress lebih selamat.

Bila patut upah pereka web?

Bila masa anda lebih bernilai daripada kos upah, bila website itu sumber pelanggan utama, atau bila anda perlukan kedai online dengan pembayaran. Pakej website perniagaan saya bermula RM4,500 dan siap dalam tiga hingga empat minggu.

Boleh saya belajar urus website sendiri selepas upah pereka?

Boleh dan memang patut. Setiap website yang saya siapkan datang dengan satu jam latihan, dan untuk yang nak lebih mendalam ada Kursus WordPress satu-ke-satu dalam Bahasa Malaysia.

Let's get in touch

Need this done for your own website? 

I build and look after WordPress websites for businesses in Malaysia. Tell me about yours on WhatsApp and I will reply within one working day.

Reply within one working day

Message Zahid directly

WhatsApp
+60 11-5197 8879
Hours
Monday to Saturday 10 am to 6 pm · Sunday closed
Based in
Kuala Lumpur, Malaysia

Send three things for a quote in one reply

  1. 01Your current website, if you have one
  2. 02What the website must do for your business
  3. 03When you need it live
WhatsApp Zahid